Saturday, 10 December 2016

Menulis Blog

Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga saya menyiapkan entri penulisan blog melalui kelas Asas Blog & Penulisan team ABDR ini. Sangat banyak yang saya pelajari, antaranya ialah bagaimana untuk menghasilkan penulisan di blog yang lebih konsisten dengan pengisian yang bermanfaat. Banyak tips yang dikongsikan bagaimana untuk melatih tubi menulis dan memastikan tidak ketandusan idea untuk menulis di blog. Aktiviti menulis blog ini juga menyebabkan saya menjadi orang yang lebih peka terhadap keadaan di sekeliling dan sentiasa mencatat idea yang boleh dijadikan tema penulisan. 

Selain itu, Ebook rujukan dari kelas ABDR ini juga sangat banyak membantu untuk menginspirasi dan memotivasikan diri semula apabila terasa kurangnya fokus dan motivasi menjadi ibu yang bekerja di rumah. Tidak dapat dinafikan menjadi ibu yang bekerja di rumah ada fasa naik dan turunnya, tetapi dengan gabungan kerjasama dengan ibu-ibu yang lain juga inshaaAllah akan menaikkan semangat semula. 

Buat anda yang masih tercari-cari apakah hala tuju selepas bergelar surirumah dan pada masa yang sama mahu menulis di blog sambil menjana sumber kewangan, bolehlah berhubung dengan team pengurusan ABDR. Bagaimana mahu menghubungi mereka? Boleh klik pada gambar di bawah untuk mengetahui lebih lanjut apa yang ditawarkan oleh team ABDR yang inshaaAllah boleh mengubah hidup anda.


Teknik Menahan Amarah Terhadap Anak Syurga (bahagian 2)

Sambungan bahagian 2 teknik untuk menahan amarah terhadap anak syurga anda. (Teknik elakkan diri menjerit-jerit, bertukar menjadi singa, hendak mencubit atau memukul).
Post asal ini boleh anda baca juga di facebook saya : https://www.facebook.com/norarfah.suut/posts/10154474462352911

5. Tukar suasana. Tadi anda rasa hendak marah, tetapi cuba anda ketawa atau bergurau senda dengan anak anda pula. Teknik ini bunyinya agak pelik semasa saya membacanya, tetapi apabila dipraktikkan, sebenarnya kadang kadang sangat berjaya, tengok pada situasi juga . Masa hendak marah, cuba pergi geletek,menyanyi atau menari dengan anak syurga anda. InshaaAllah tidak jadi marah.

6. Apabila anda rasa sudah terlalu marah, cuba berhenti seketika dan jauhkan diri sebentar dari anak syurga anda (tapi pastikan mereka dalam keadaan selamat). Berehat beberapa minit untuk mengelakkan anda melakukan sesuatu di luar kawalan. Jika berdiri, cuba duduk. Jika duduk, cuba baring. Jika tidak berkesan, ambil wuduk. baca ta'awudz. Jika tidak berhasil juga, baca Al Quran.

7. Bagaimana pula jika anda memang sudah biasa menjerit dan susahnya nak ubah tabiat ini?Apabila anda rasa marah dan telahpun menjerit memarahi dengan spontan, cuba selitkan doa yang baik-baik sekali. Peliknya teknik ni kan? Pernahkah anda dengar cerita seorang imam Masjidil Haram yang nakal semasa kecilnya? Ibunya dalam nada marahnya mendoakan semoga dia menjadi imam Masjidil Haram suatu hari nanti dan doanya termakbul. Walaupun tidak pasti kesahihan siapakah imam tersebut tetapi ada pengajaran yang boleh diambil daripada situ.
Kadang kadang susah juga untuk elak menjerit sebenarnya dengan keletah anak syurga yang pelbagai. Contohnya, semasa kita membasuh beraknya, boleh pula dia pergi letakkan berus giginya di punggung yang masih belum bersih. Menjerit sebab terperanjat atau hendak melarang ketika saat kecemasan itu berbeza sebenarnya dengan menjerit marah marah. Haha.

8. Si ibu yang kepenatan sebenarnya sangat senang nak marah. Lebih lebih lagi suri rumah yang tiada pembantu dan menghadap anak 24 jam. Perlu ada Me-time. Kadang kadang si ibu apabila sudah ambil masa sedikit  untuk me-time akan recharge dan moodnya lebih baik untuk melayan anak. Cuba sedaya upaya luangkan masa untuk me-time setiap hari walaupun sekejap sahaja.

9. Biasanya orang yang pernah merasa kehilangan atau dilanda musibah akan lebih menghargai. Ingatkan diri bagaimana perasaan anda ketika sesuatu terjadi pada anak anda atau anak orang lain 😢 😢 Ingatkan diri juga Allah boleh mengambil anak kita bila-bila masa. Biarlah momen kita dengan anak penuh dengan peristiwa indah, bukannya penuh dengan peristiwa marah.
Bersyukurlah anak anda masih hidup dan anda masih diberi peluang bersamanya, kerana ada yang pernah merasa menurunkan anak di liang lahad, ada yang pernah merasa merangkul anak yang sudah tidak bernyawa. Janganlah kerana sebab yang kecil, kita marah marah sedangkan mereka masih tidak berapa mengerti.

10. Doa. Itu senjata utama kita umat Islam. Berdoalah agar menjadi ibu bapa yang lebih baik setiap hari. Mendidik anak sebenarnya melibatkan mendidik jiwa ibu bapa juga. Ibu bapa yang soleh inshaaAllah akan melahirkan anak yang soleh juga.

Semoga kita semua berusaha menjadi ibu bapa yang lebih baik. Saya mengingatkan diri saya yang paling utama sebenarnya sambil menulis. Jom sama-sama doakan agar kita menjadi ibu bapa yang lebih baik.

"Orang hebat bukanlah orang yang selalu menang dalam pertarungan. Orang hebat adalah orang yang boleh mengendalikan diri ketika marah.”

Wassalam. Semoga bermanfaat  😊





Tuesday, 8 November 2016

Teknik Menahan Amarah Terhadap Anak Syurga (bahagian 1)

Ibu dan ayah sekalian.. Apabila anak syurga anda melakukan kesalahan, biasanya apakah yang anda lakukan untuk menahan amarah, mengelak dari bertukar menjadi singa, mengelak dari menjerit atau mengelak tangan menjadi ketam mencubit anak..?

Saya nak kongsikan beberapa teknik yang dipelajari dari group parenting, pembacaan, pengalaman sendiri dan juga dari kaunselor. Post fb saya yang asal di sini : https://www.facebook.com/norarfah.suut/posts/10154471176332911

Perkongsian ini saya bahagikan kepada 2 bahagian. Saya bukanlah pakar, seorang ibu yang berusaha memperbaiki dirinya. Teknik yang saya kongsikan ini adalah yang saya belajar dari group parenting, pembacaan dan juga dari kaunselor.

1. Ingatkan diri anak itu amanah Allah dan saham kita di akhirat. Biasanya pada umur ini, mereka lebih mencontohi perbuatan kita berbanding percakapan/arahan kita. Anak ini tiada dosa, mereka masih belum mengerti banyak perkara, dan baru hidup beberapa tahun di muka bumi. Kita pula sudah hidup berpuluh tahun di muka bumi, lebih banyak pengalaman dan boleh memahami banyak perkara. Kasihanilah mereka, janganlah meletakkan expectation terlalu tinggi buat mereka. Mereka ibarat kain putih dan kitalah yang mencorakkannya. Ingatkan diri apa niat kita memiliki anak.

2. Apabila terasa hendak marah, Istighfar dan tarik nafas. Ada kaunselor menyarankan teknik bernafas dari perut bukannya dari dada ketika marah. Boleh google deep breathing technique or abdominal breathing technique.

3. Mengetap bibir dan jangan berkata apa-apa.

4. Instead of rasa hendak meninggikan suara dan menjerit, bercakap dengan nada perlahan & berbisik pada mereka. Bagaimana hendak buat ini? Pergi dekat kepada anak, sekiranya anda berdiri, tunduk dan pastikan mata anda selaras dengan anak anda. Orang yang sedang bercinta biasanya hanya bercakap perlahan atau berbisik kepada pasangan mereka kerana jiwa mereka dekat dengan pasangan. Kita menyayangi anak kita, kita mahu mendidik mereka dengan penuh rasa cinta, bukannya stress.

5. Sentiasa tambah ilmu parenting dan mempelajari psikologi dan perkembangan anak-anak. Semakin anda faham dunia anak syurga, semakin rasional anda terhadap tindakan mereka.

"Jika hendak marah, marahlah kerana Allah, bukannya kerana nafsu amarah. "

Ulasan Ebook : Super WAHM Super MOM

Sudah 6 bulan saya bergelar surirumah. Alhamdulillah, syukur rasanya kerana sudah lama mengimpikan untuk menjaga sendiri anak-anak.

Tidak lagi menggalas tanggungjawab sebagai pekerja di pejabat, bergelar surirumah sambil menguruskan perniagaan rupa-rupanya sangat mencabar. Ada ketika motivasinya sangat tinggi, ada ketikanya menjunam turun.

Patutlah pernah seorang kaunselor menyarankan saya agar benar-benar menulis impian saya jikalau tidak, saya bakal tenggelam dalam kesibukan urusan anak dan rumahtangga.

Lalu, di sinilah saya merujuk semula ebook ini “ Super WAHM Super MOM”. Motivasi yang menurun perlu dinaikkan semula.

Antara kata-kata yang menyentuh hati saya dalam naskhah ini "Selagi mana wanita itu bergelar isteri dan ibu, maka rumahlah tempat terbaik untuk kita kembali. Kembalikan kegemilangan wanita di zaman Rasulullah, dengan trend perkembangan internet memberangsangkan kita mampu lakukan sesuatu.  Sesuai dengan fitrah dan tuntutan dalam Al-quran dan sunnah, kita kembali ke tempat asal namun bukan sekadar duduk dalam tempurung. Usaha kita, kerana mahu mengembalikan pesona didikan anak-anak bermula dari hasil air tangan ibu."   

Dalam bab 4-8 dalam ebook ini, penulis berkongsi dengan lebih dalam tentang cabaran menjadi surirumah di samping mengendalikan perniagaan sendiri. Pelbagai tips dikongsikan bagaimana untuk menguruskan sebarang cabaran atau tekanan sepanjang menguruskan rumahtangga & perniagaan di rumah.

Pelbagai cadangan dan panduan yang telah disenaraikan oleh penulis jika diikuti inshaaAllah boleh menaikkan semula motivasi untuk meneruskan tugasan. Gaya penulisan penulis yang santai dan mudah difahami, membuatkan ebook ini begitu bermanfaat dan sangat sesuai menjadi rujukan buat para WAHM.

Tuesday, 27 September 2016

Demam Sawan

Pengalaman menyaksikan sendiri anak demam sawan adalah satu pengalaman yang sangat menakutkan. Minggu lepas, anak saya, Maryam yang berumur 11 bulan demam. Ketika menyusukannya pada lebih kurang pukul 11 malam, tiba-tiba saya perasan mukanya kebiruan dan dia seperti tidak bernafas . Yang ada bersama saya ketika itu hanya anak sulung saya, Muhammad yang berumur 2 tahun kerana suami saya bekerja syif malam. Saya terkejut dan panik, kenapa pula tiba-tiba Maryam menunjukkan reaksi sedemikian. Di bahu saya, dia terkulai layu seperti putus nafas. Saya hilang akal dan punca, masakan dia tercekik sesuatu semasa menyusu berbaring di atas badan saya. Saya segera bangkit dari tempat baring dan menepuk-nepuk Maryam supaya dia bangun namun dia masih kelihatan tidak sedarkan diri. Saya mencuba menelefon suami tetapi tidak berjaya. Malahan, saya ketika itu sudah terfikir adakah sudah habis masanya Allah pinjamkan Maryam kepada saya. Saya kegelisahan, anak saya yang sulung juga sudah menangis dan memanggil-manggil nama adiknya melihat apa yang terjadi. Setelah saya membawanya ke bilik air dan menjirusnya dengan air paip, barulah Maryam menunjukkan reaksi sedarkan diri semula. Selepas dia sedarkan diri, saya terus memberi ubat demam kepadanya kerana tidak tahu di mana ubat demam yang dimasukkan ke dalam dubur. Apabila sudah menjumpainya, rupa-rupanya ubat itu sudah cair pula. 

Malam itu, saya tidak berani tidur kerana risau dengan keadaan Maryam. Malahan, saya tidak berani menyusukannya sambil berbaring sebaliknya saya hanya duduk sahaja. Saya masih trauma dengan apa yang terjadi. 

Melihat anak saya terkulai layu di hadapan saya menyedarkan saya betapa takutnya saya berdepan kematian di depan mata dan betapa tidak bersedianya saya menghadapi realiti yang sebenar bahawa anak saya adalah pinjaman semata daripada Allah. Alhamdulillah syukur kerana Allah masih memberi peluang untuk saya bersamanya lagi, memperbaiki lagi kesilapan diri sebagai seorang ibu. Malahan pada ketika kejadian,  terbayang-bayang di mata saya, salah seorang anak saudara kesayangan saya yang meninggal pada tahun lepas.  

Keesokan harinya, saya bersama suami pergi berjumpa dengan paediatrik, Dr Ho. Apabila saya menceritakan simptom-simptom yang dialami Maryam, beliau mengesyaki Maryam terkena demam sawan. Pengsan adalah antara simptomnya. 

Dr Ho kemudiannya memberikan saya satu artikel untuk dibaca berkaitan demam sawan. Maryam juga dikehendaki datang semula untuk pemeriksaan keadaan demamnya pada malam itu dan keesokan harinya. Alhamdulillah demamnya semakin surut dan dia tidak perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut. 


Saya sertakan semula kandungan di dalam artikel tersebut untuk manfaat bersama. Kandungan artikelnya juga sedikit sebanyak juga melegakan kerisauan saya. (Sumber : Dr Ho’s Specialist Clinic for Children) 

1. APA YANG IBU BAPA PERLU KETAHUI MENGENAI DEMAM SAWAN. 

Kebanyakan sawan yang dialami oleh kanak-kanak adalah disebabkan oleh demam. Ianya dikenali sebagai demam sawan. Ianya mungkin menakutkan, tetapi tidak merbahaya. 

2. ADAKAH DEMAM SAWAN MERBAHAYA? 

Secara umumnya, demam sawan tidak memudaratkan. Walaupun melihat anak anda mengalami sawan adalah pengalaman yang menakutkan, anak anda akan pulih. Dewan sawan tidak menyebabkan kerosakan otak. Anak anda juga tidak akan tertelan lidahnya. Kebanyakan demam sawan tidak berlanjutan melebihi 10 minit. Selalunya anak yang mengalami demam sawan tidak perlu ditahan di hospital, ujian x-ray atau ujian gelombang otak. Beliau hanya perlu berjumpa doktor untuk mencari dan merawat punca demam. 

3. APA YANG PATUT DILAKUKAN JIKA ANAK ANDA MENGALAMI DEMAM SAWAN? 

1) Baringkan anak anda pada sisinya supaya tidak tercekik air liurnya. 
2) Jangan letak sesuatu di dalam mulutnya. 
3) Jangan cuba menahan atau membataskan pergerakan anak anda. 
4) Dapatkan rawatan kecemasan jika serangan sawan tersebut melebihi 10 minit. 

4. APA PATUT ANDA LAKUKAN SETELAH SAWAN TERSEBUT BERHENTI? 

Bawa anak anda berjumpa doktor untuk menentukan punca demam 

5. ADAKAH ANAK ANDA AKAN MENGALAMI SAWAN LAGI? 

Risiko untuk anak anda mengalami sawan lagi adalah 25%- 30%. Risiko tersebut adalah lebih tinggi jika anak anda berumur kurang dari 18 bulan, mempunyai sejarah demam sawan di dalam keluarga atau mendapat sawan ketika mengalami demam yang rendah. 

6. BOLEHKAH SAWAN INI DICEGAH DENGAN UBAT? 

Boleh, tetapi kesan sampingan ubat tersebut mungkin lebih memudaratkan dan sawan tersebut tidak dapat dicegah seratus peratus. 

7. JIKA ANAK SAYA MENGALAMI DEMAM SAWAN, ADAKAH INI BERMAKNA DIA MENGHIDAP PENYAKIT EPILEPSI? 

Tidak. Demam sawan bukan epilepsi. Pesakit epilepsi adalah mereka yang mengalami dua atau lebih sawan tanpa demam. Dewan sawan tidak menyebabkan epilepsi. Walau bagaimanapun peluang anak yang pernah mengalami demam sawan untuk mendapat epilepsi pada masa hadapan adalah 2% - 4%. Walau bagaimanapun terdapat 95% peluang anak anda tidak akan mendapat epilepsi dan tiada bukti yang menunjukkan sebarang ubat dapat mencegah anak anda dari mendapat penyakit epilepsi. 




Thursday, 25 August 2016

Ekspedisi Menaiki Kereta Sarawak-Brunei-Sabah Bersama Anak Kecil

Bergelar W.A.H.M (Work At Home Mother), salah satu perkara yang paling menyeronokkan adalah saya dapat bersama bercuti dengan suami, terutamanya apabila suami bercuti panjang. Kalau dulu semasa masih bekerja, biasanya suami akan ikut berapa banyak cuti saya, barulah dia akan memohon cutinya. Pernah juga terjadi, saya tidak dapat mengikut dia bersama anak sulung saya pergi bercuti di Langkawi dan kampung neneknya, Changlun kerana cuti saya tidak cukup.

Kerana faktor masa, biasanya sebelum ini, kami akan balik ke kampung halaman dengan menaiki kapal terbang. Kampung halaman saya di Kuching, Sarawak manakala suami saya pula di Tuaran, Sabah. Cuti suami saya yang panjang kali ini membolehkan kami mencuba ekspedisi menaiki kereta merentasi Sarawak, Brunei dan Sabah. Jarak perjalanan menaiki kereta jika dianggarkan dengan Google Map (saya terlupa mencatat berdasarkan meter kereta saya) dan juga tempoh perjalanan kami seperti berikut :

a) Bintulu, Sarawak – Kuching, Sarawak : 600km++ (11 jam lebih, 1 hari perjalanan)
b) Kuching, Sarawak – Tuaran Sabah : 1200 km++ (4 hari perjalanan, transit bermalam di Saratok, Bintulu, Limbang) 
c) Tuaran, Sabah – Bintulu, Sarawak : 500km++ (3 hari perjalanan, transit bermalam di Lawas dan Miri) 

Kuching,Sarawak - Tuaran Sabah
Peta Sarawak Sabah 


Alhamdulillah bersama 2 orang anak saya (seorang bayi 8 bulan dan ‘toddler’ 2 tahun) , perjalanan tak banyak ragam . Cuma semasa dalam perjalanan Kuching, Sarawak – Tuaran, Sabah, anak saya yang sulung muntah dan demam. 
Antara tips yang boleh saya kongsikan sepanjang perjalanan menaiki kereta Sarawak-Sabah ini adalah : 

1. Rancang perjalanan berdasarkan kemampuan pemandu 


Destinasi pertama kami adalah dari Bintulu, Sarawak – Kuching, Sarawak. Perjalanan ini mengambil masa selama 11 jam++ dengan jarak perjalanan lebih kurang 600km++. Kami berangkat dari Bintulu pada pukul 7 pagi dan sampai di Kuching lebih kurang pada pukul 650 petang. Kami terpaksa berhenti beberapa kali kerana suami saya mengantuk. Tambahan dengan perjalanan di dalam bulan puasa, suami saya sebagai pemandu tidak dapat mengambil apa-apa makanan atau minuman untuk menghilangkan rasa mengantuk. 
Kami juga singgah di kampung ayah saya iaitu daerah Saratok selama lebih sejam untuk berhenti solat, menukar lampin anak, menyegarkan diri, memberi anak makan dan lain-lain. Daerah Saratok ini terletak lebih kurang 5 jam dari Bintulu. Rancangan asal kami sebenarnya hendak bermalam di Saratok tetapi kemudiannya menukar rancangan untuk meneruskan sahaja perjalanan ke Kuching. 
Berdasarkan pengalaman perjalanan pertama ini, sebenarnya sangat penat apabila melalui perjalanan selama 11-12 jam di bulan puasa. 


2. Rancang perjalanan berdasarkan kemampuan penumpang. 


Oleh kerana perjalanan kami disertai 2 anak kecil (seorang berumur 2 tahun dan seorang berumur 8 bulan), faktor ketahanan mereka berada di dalam kereta harus diambil kira.  Perjalanan pertama kami yang selama 11 jam ++ itu bernasib baik kerana malam sebelumnya, mereka tidur lewat (pukul 3 pagi lebih) jadi mereka kepenatan dan banyak tidur  sepanjang perjalanan di dalam car seat masing-masing.
Perancangan perjalanan kami yang seterusnya hanya lebih kurang 5 jam sahaja dalam 1 hari. Perjalanan dilakukan ketika waktu pagi, ketika anak-anak masih tidur. Biasanya mereka akan tidur dalam masa 3 jam di dalam car seat sebelum terbangun. 
Bayi saya yang berumur 8 bulan menyusu badan jadi saya akan menyusukannya dahulu baru meletakkannya ke dalam ‘car seat’. Tidak lama selepas menyusu, dia akan tertidur. 
Semasa perjalanan kami dari Limbang, Sarawak – Tuaran, Sabah, kami tiba di Kota Kinabalu pada waktu tengahari. Pada waktu tengahari, cuaca sudah mula panas tambahan dengan keadaan trafik yang sesak di Kota Kinabalu menyebabkan anak saya kedua-duanya resah dan menangis di dalam car seat. Seeloknya cuba bertolak seawal mungkin untuk mengelakkan cuaca panas. 


3. Bersabar apabila anak menangis di dalam car seat 


Faktor keselamatan sangat penting dan sangat perlu diambil kira dalam mana-mana perjalanan. Tambahan lagi dalam perjalanan jauh seperti yang kami lakukan, adalah sangat penting untuk memastikan langkah-langkah keselamatan seperti memakai tali pinggang dan anak duduk di dalam ‘car seat’ dipatuhi. Perjalanan jauh menyebabkan kita senang terlelap dan sekiranya kita mendukung atau merangkul anak, tidak mustahil dia terlepas dari pelukan ketika kita terlelap. Bersabarlah  sekiranya anak menangis ketika diletakkan di dalam ‘car seat’ kerana semuanya itu kita lakukan demi keselamatannya. Kita sebagai ibu juga sudah pasti kenal tangisan anak dan tahu samada itu tangisan manja, kelaparan, mahu tidur atau sebagainya. Sekiranya anak dalam keadaan selesa, lampin tidak basah, kenyang inshaaAllah mudah untuk meletakkannya di dalam car seat. Cuba tenangkan juga anak sebelum meletakkannya di dalam ‘car seat’.
Pengalaman saya, anak saya yang sulung contohnya biasanya menangis kerana dia masih mahu duduk di tempat pemandu bermain stereng kereta. Kami terpaksa menahan telinga mendengar tangisan selama lebih kurang 5-15 minit sebelum dia akhirnya berhenti sendiri. Bayi 8 bulan saya pula selepas disusukan, dalam keadaan tidur akan diletakkan di car seat. Apabila dia sedar dia sudah diletakkan di dalam car seat, kadang-kadang dia akan menangis sebelum akhirnya tertidur semula. Kita sebagai ibu bapa kena tahan telinga mendengar tangisan anak, terutamanya apabila mereka menangis berjemaah ;) 


4. Sentiasa bersedia dengan kelengkapan ubat 


Kami sebenarnya pada awalnya (perjalanan Bintulu-Kuching) tidak membawa apa-apa bekalan ubatan untuk anak-anak. Lagipun, pada pendapat saya, sekiranya memerlukan apa-apa ubatan, mudah sahaja hendak pergi ke mana-mana klinik di Kuching. 
Walau bagaimanapun, kita seharusnya berjaga-jaga terutama musim perayaan. Tambahan pula kami akan melalui perjalanan yang jauh dan tidak banyak klinik di kampung suami saya di Tuaran. Musim perayaan, tidak mustahil klinik juga tutup! 
Anak saya kebetulan demam semasa balik ke Kuching dan kami membawa sekali ubat-ubatan yang diperlukan semasa perjalanan Kuching, Sarawak – Tuaran, Sabah. Sentiasa dapatkan nasihat doktor untuk preskripsi ubat-ubatan. Pengalaman saya, paling kurang ada ubat demam dan ubat tahan muntah semasa dalam perjalanan. 

5. Bersedia dengan baju ekstra untuk anak di dalam beg kecil 


Ini sebenarnya persiapan yang sering dilakukan oleh mana-mana ibu apabila pergi ‘shopping’ apatah lagi ‘travel’ bersama anak. Tidak mustahil baju anak akan kotor kerana lampin basah, berak, muntah dan sebagainya. Seeloknya baju ekstra tersedia khas di dalam beg yang senang dicapai kedudukannya supaya tidak perlu aktiviti punggah memunggah dan mengalihkan barang di dalam kereta. 


6. Alat mainan, cd lagu


Anak sulung saya seorang yang aktif dan menyukai aktiviti berlari-lari, memanjat dan melompat. Saya percaya anak yang seusianya memang semua pun begitu dan aktiviti sebegitu baik untuk psikomotor mereka. 
 Sebagai persiapan untuk mengalihkan perhatian jika dia gelisah di dalam car seat kerana terpaksa duduk diam, kami membawa alat mainan dan juga cd lagu. Hanya beberapa kali sahaja cd lagu perlu dimainkan dan selebihnya dia banyak tertidur di dalam kereta. 

7. Bersedia dengan makanan ‘magik’ yang boleh mengalih perhatian anak buat sementara waktu


Saya sebenarnya salah seorang ibu yang tidak suka memberi makanan ringan kepada anak-anak. Namun begitu, makanan ‘magik’ seperti coklat saya akan ‘standby’ juga di dalam beg tangan apabila diperlukan di waktu-waktu kecemasan. Terpaksalah menutup mata sekali sekala, walaupun saya tidak menyukai dia memakannya. 

8. Mengetahui tentang pos kawalan imigresen yang perlu dilalui dalam perjalanan 


Merentasi Sarawak-Brunei-Sabah dengan menaiki kereta, ada beberapa pos kawalan imigresen yang perlu dilalui iaitu :  
i. POS KAWALAN IMIGRESEN SUNGAI TUJOH (MIRI), SARAWAK & POS KAWALAN IMIGRESEN SUNGAI TUJOH(KUALA BELAIT), BRUNEI 
ii. POS KAWALAN IMIGRESEN TEDUNGAN (LIMBANG), SARAWAK  &  POS KAWALAN IMIGRESEN KUALA LURAH, BRUNEI
iii. POS KAWALAN IMIGRESEN PUNI (TEMBURONG), BRUNEI  &  POS KAWALAN IMIGRESEN PANDARUAN (LIMBANG), SARAWAK
iv. POS KAWALAN IMIGRESEN LABU (TEMBURONG), BRUNEI & POS KAWALAN IMIGRESEN MENGKALAP (LAWAS), SARAWAK 
v. POS KAWALAN IMIGRESEN MERAPOK (LAWAS), SARAWAK & POS KAWALAN IMIGRESEN SINDUMIN, SABAH 


Antara dokumen perjalanan yang diperlukan untuk perjalanan Sarawak-Brunei-Sabah adalah passport antarabangsa ataupun passport terhad ke negara Brunei. Selain itu, jika anda berasal dari Sabah dan bekerja di Sarawak seperti suami saya, anda juga perlu membawa permit kerja bersama kerana ianya diperlukan di beberapa pos kawalan. 
Selain itu, pemilik kenderaan juga perlu membawa ‘green card’ kerana dokumen ini juga diperlukan semasa melalui pos kawalan imigresen. 
Ada beberapa pos kawalan imigresen yang agak sesak pada waktu tertentu terutamanya petang seperti pos kawalan Sungai Tujoh (Miri) kerana orang Brunei yang pergi ke Miri hendak balik ke Brunei. 
Bersama dengan anak kecil, cuba rancang perjalanan anda agar tidak bertembung dengan kesesakan semasa di pos kawalan imigresen ini. Anak saya misalnya tidak menyukai apabila kereta tidak bergerak dan dia mula membuat bising dan merengek–rengek di dalam kereta. Kami misalnya membuat perancangan untuk transit bermalam di Limbang semasa perjalanan pergi kerana mahu melalui pos kawalan keesokannya pada waktu awal pagi untuk mengelak kesesakan. 


Rasanya cukup sampai di sini sahaja dahulu perkongsian tips ekspedisi menaiki kereta Sarawak-Brunei-Sabah bersama anak kecil kali ini. Terima kasih kerana membaca :) 

Pemandangan Gunung Kinabalu dari Tuaran 

Sunday, 21 August 2016

Ebook Panduan Mula Bisnes butik Online/Offline

Suami saya sudah lama menyimpan hasrat untuk membuka kedai. Selepas raya Aidilfitri ini tadi, kami ada berkunjung ke sebuah pusat membeli-belah yang baru dibuka. Mungkin kerana ianya baru, banyak unit kedai yang masih belum disewa. Dia berkesempatan mengambil beberapa nombor telefon pemilik kedai dengan tujuan untuk bertanya harga sewa kedai. 

Sebelum ini, pernah juga dia mengambil nombor telefon kedai untuk disewa, tetapi tidak pernah pula suami saya menghubungi mereka. Yang pernah kami lakukan adalah menyewa beberapa ‘box’ di kedai di sekitar daerah kediaman kami ini, dan suami saya berminat dengan konsep yang sama. 

Kali ini, mungkin kerana dia melihat potensi dan lokasi pusat membeli belah tersebut, tergerak hati dia untuk menghubungi pemilik kedai yang unitnya masih kosong tersebut. Saya cuma menggalakkan dia menelefon pihak-pihak berkenaan sahaja. Dia juga pergi bertanya bank dan MARA tentang pinjaman dan peluang keusahawanan. 

Bagaimana pula dengan saya? Saya akui sebelum ini, tidak mengimpikan untuk membuka kedai ataupun butik. Malahan saya sangat teragak-agak kerana tahu perlunya ada perancangan, dan juga pelaburan besar perlu dilakukan. Tambahan pula, saya tidak ada pengalaman dan tidak pernah berguru dengan mana-mana pemilik kedai. Namun, setelah melihat kesungguhan dia, barulah saya juga tergerak hati untuk memulakan langkah sedikit demi sedikit mengkaji peluang untuk membuka butik. Jika sebelum ini tidak terlintas di fikiran saya tentang membuka butik, tetapi perlahan-lahan saya juga mula menyimpan impian untuk membuka kedai/butik. 

Banyak informasi juga lagi saya perlukan sebenarnya tentang perancangan kami untuk membuka kedai ini. Alhamdulillah, ebook Panduan Mula Bisnes butik Online/Offline ini sangat bermanfaat dan sedikit sebanyak menambah idea dan informasi tentang perkara asas yang diperlukan sebelum membuka kedai/butik, contohnya seperti barang mentah/sumber bekalan, modal dan pengurusan bisnes. 

Sebahagian daripada intipati menarik yang terkandung dalam ebook ini adalah bab Pengalaman Bisnes daripada beberapa usahawan dan juga Tip Bisnes Orang Cina. Membaca tentang pengalaman usahawan-usahawan ini sangat mengujakan dan memberi motivasi kerana mereka melalui banyak pahit manis sebelum akhirnya berjaya dalam butik mereka. Pemilik butik Al-Ikhsan misalnya berkongsi pengalaman beliau pernah turun naik pejabat kerajaan dan swasta untuk memperoleh tempahan dan memasarkan barang. “Walaupun kita gagal sekali, atau sukar mendapatkan pinjaman bank, perlu istiqamah dan terus buat sahaja (just do it!). Jangan fikirkan apa-apa. Usahakan apa yang ada. Ini penting untuk bina reputasi dan lama-kelamaan kita akan membina kredibiliti dan kepercayaan.”

Sekiranya ada masih tercari-cari idea dan informasi untuk mengusahakan butik secara online/offline, saya menyarankan agar anda membaca ebook ini. Beberapa tip bisnes orang cina daripada eBook ini yang sangat menarik hati saya : 
“Tidak boleh mengharapkan keuntungan awal sebaik sahaja yang memulakan bisnes. Tetapi kerja keras berterusan agar dapat menangani apa sahaja kemungkinan untung dan rugi dalam bisnes. Kejayaan orang Cina dalam bisnes bukan disebabkan kepakaran mereka, sebaliknya adalah gabungan banyak perkara positif dalam menyumbang kelansungan bisnes. Sifat-sifat tersebut ialah perancangan, kerja keras, berani menanggung risko, keberanian, jujur dan juga mendapat sokongan padu daripada ahli keluarga. “